Buluh (juga dikenali sebagai aur atau bambu) merupakan suku bagi tumbuhan saka berbunga daripada keluarga Poaceae. Struktur pokok buluh adalah berongga di bahagian tengah dan keratan rentas berkas vaskularnya terletak bertaburan di seluruh batang. Ia juga tidak mempunyai xilem.
Buluh adalah antara tumbuhan yang paling pantas membesar di dunia disebabkan oleh sistem bersandar rizomnya yang unik Tumbuhan ini mempunyai kepentingan dari segi ekonomi dan budaya di rantau Asia Timur, Asia Tenggara dan Asia Selatan dimana ia digunakan sebagai bahan binaan, sumber makanan dan juga keluaran mentah serbagun
MELENTUR BULUH BIAR DARI REBUNG
MALAYSIA sebagai negara maju pada tahun 2020 sebagaimana impian negarawan besar, Tun Dr. Mahathir Mohamad bukan dicadangkan semalam mahupun dua hari lepas. Jika kita mahu mengecap nikmat sebagai negara berpendapatan tinggi juga, perlu juga dirancang berpuluh-puluh tahun lalu dan kita sedang menuju ke destinasi tersebut kurang tujuh tahun dari sekarang.Dewasa ini, negara dicanangkan menghadapi masalah dalam sukan bola sepak, rumah semakin mahal dan pelbagai masalah sosial yang menghantui kita sebagai rakyat negara yang aman dan sentosa ini.
Formula untuk mengatasi masalah yang ada, kadang kala memeningkan minda pak menteri hingga ada yang seakan-akan bertelagah dengan pihak berkaitan untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu. Namun bak kata pepatah, kalau melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Masalah bola sepak negara misalnya sudah berada di tahap buluh, semakin cuba di atasi semakin miang mengerenyam jadinya. Justeru untuk mengatasi setiap masalah, sepatutnya kita mencari punca dan bukannya terus-terusan mengkritik dan mencari salah orang lain sehingga punca masalah hilang daripada perbincangan, hanya populariti pihak terlibat semakin mencanak.
Masalah bola sepak misalnya bukan masalah negara, ia adalah masalah antarabangsa sebenarnya. Jika kita kaji sejarah bola sepak di negara ini, sukan tersebut dibawa oleh orang British pada awal kurun ke-20. Pada masa itu orang Melayu hanya pandai main konda-kondi dan sepak raga ratus hinggalah permainan bola sepak diperkenal oleh Mat Salleh dari England yang hari ini cucu cicitnya berbuku di hati kerana hanya menang sekali pada tahun 1966 (itu pun semasa menjadi tuan rumah).
Negara seperti Brazil yang handal bersamba pun mengalami gerhana dalam pencapaian bola sepak dan tidak memenangi kesemua 19 Piala Dunia yang diadakan semenjak tahun 1930. Kemalapan prestasi bola sepak biasanya disebabkan tiada lagi pemain berbakat istimewa dalam sesuatu pasukan dan inilah masalah yang negara kita hadapi iaitu pembangunan di peringkat akar umbi yang mana peringkat sekolah dibebani kepada guru semata-mata. Bakat yang ada ibarat mencari jarum di dalam jerami.
Sehubungan itu, langkah mengkorporatkan pasukan bola sepak di semua peringkat dengan syarikat swasta mahupun syarikat milik kerajaan (GLC yang mempunyai jiwa patriotik) boleh dilaksanakan.
Sukan bola sepak walaupun bertaraf amatur mahupun peringkat sekolah rendah, biarlah ditadbir urus secara profesional dan bukan sekadar cukup-cukup makan atau sekadar ada sahaja.
Di peringkat kampung pada satu masa dahulu memang wujud pemain bola sepak yang berbakat ala lagenda bola sepak dunia, Diego Armando Maradona Franco tetapi setakat main di tepi sungai tiada jurulatih negeri yang memandang sebelah mata.
Di peringkat sekolah, guru Pendidikan Jasmani hanya akan memilih pemain yang pandai menggelecek seorang dua dan pandai membodek dirinya dan bukannya atas dasar bakat bermain.
Hari ini masalah yang sama dikhuatiri berlaku kerana jurulatih bola sepak bukannya robot, mereka adalah manusia juga punya hati umpama kerak nasi.
Pihak yang terlibat dengan pergeseran demi melihat mutu bola sepak meningkat perlu bertemu selalu untuk berbincang hati ke hati, bukan setakat melontar tweet mahupun posting sepatah dua kata pedas di laman sosial.
Contohilah bagaimana kelab bola sepak British yang sudah dikorporat menyemai baja latihan dan kemahiran kepada anak kecil yang baru masuk darjah satu di padang-padang hijau yang tidak berlekak-lekuk seperti sesetengah padang di negara kita.
Pemain hebat seperti Wayne Rooney mahupun David Beckham bukan entah dari lubuk mana terus mewakili Manchester United pada usia 17 tahun.
Mereka bermain dari peringkat liga bawahan antara kelab yang ada institusi latihan bola sepak yang sama dan seterusnya setelah dewasa muka-muka itu juga yang muncul dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris.
Skuad Malaysia perlu menetapkan satu jenis konsep latihan dan jenis permainan untuk membentuk pasukan dari sekarang dan bukannya terus bereksperimen dan mencongak strategi tanpa ada kepastian identiti pasukan yang sebenar-benarnya.
Perkara inilah yang perlu diselesaikan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan bukannya bertindak menyelesaikan masalah tanpa mendengar komen pak menteri dan pakar-pakar sukan yang mungkin ada ilmu yang 'kita' tidak ada.
Sewajarnya di era menjelang 2020 ini, mutu bola sepak berada di landasan yang dibanggakan oleh generasi muda kita yang sedang membesar. Dasar 1 Murid 1 Sukan yang diumum Menteri Pendidikan awal tahun ini amat molek dan tepat pada masanya.
Mana-mana pemain yang tinggi dan berdada lebar perlu dikenal pasti untuk diasah bakat menjadi bakal pemain negara, jangan dada lebar mahu tunjuk sombong dan tinggi diri pula.
Anak-anak muda perlu juga diterapkan semangat cintakan sukan warisan kita seperti sepaktakraw yang semakin dikuasai bangsa Korea.
Sepatutnya kita, bila berdepan dengan masalah, kita selesaikan dari peringkat hulu bukannya sibuk membuat kecoh di hiliran.
Pembangunan peringkat rebung amat perlu bukan sahaja dalam bola sepak malahan formula sama boleh diguna pakai bagi mengatasi masalah lain iaitu menyelesaikan punca masalah bukan setakat mencari jalan 'mengubati' setelah ia di tahap nazak.
Di negara ini bukan sukan bola sepak sahaja perlu perhatian dan dodoian pihak kerajaan malahan sukan sepaktakraw warisan kita senasib dengan England yang merupakan negara asal sukan bola sepak.
Juara bola sepak dunia dan Eropah adalah Sepanyol manakala sepaktakraw dikuasai Thailand yang dahulu menjadi saingan utama negara kita.
Sukan badminton juga mengalami sedikit masalah apabila kita tiada pelapis pakar perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei yang semakin dimamah usia walaupun masih hebat. Beregu dan pemain lain, tiada nama yang boleh dibanggakan oleh rakyat negara ini.
Tepuk dada tanya selera, adakah kita mahu terus menuding jari antara satu sama lain. Di atas kata di bawah salah dan di kiri kata di kanan salah maka pada penghujungnya seorang pun tidak merasa bersalah.
Demi bola sepak negara dan sukan-sukan lain yang negara kita ungguli sebelum ini, sama-samalah kita melentur rebung yang sedang tumbuh di sekolah-sekolah.
Zaman Mokhtar Dahari yang kita rindui sudah berlalu, kini kita ada Safee Sali dan kawan-kawannya. Jika kita tidak mampu memperkasakan skil dan kemampuan mereka untuk menang, janganlah mereka dikritik dengan teruk. Kerana begitulah sifat rebung apabila sudah menjadi buluh. Ia pasti akan berbunyi apabila dipukul mahupun dijadikan seruling.
Masa masih ada.
No comments:
Post a Comment