Untuk membuat capelong, pagi-pagi lagi saya telah menyelitkan parang milik bapa saya di pinggang dan mulai meredah belukar untuk mencari batang buluh yang sesuai. Setelah siap, terpaksa pula saya memanjat pokok cenerai untuk mendapatkan buah putiknya sebagai peluru capelong. Selalunya dalam soal ini saya tidak keseorangan, ramai lagi rakan saya termasuk juga rakan perempuan akan bersama-sama. Di situlah letaknya keseronokkan dan keakraban persahabatan yang sehingga kini masih melekat erat dalam sanubari saya.
Permainan
capelong juga dikenali dengan nama senapang buluh terutama oleh
kanak-kanak di kampung saya. Senapang buluh merupakan alat permainan
yang ringkas. Seperti namanya, ianya diperbuat dari seruas buluh yang
panjangnya dipotong mengikut keperluan si pembuat. Namun panjang laras
senapang yang biasa adalah lebih kurang sekaki.Terdapat tiga komponen peralatan capelong atau senapang buluh iaitu laras, gandar pengepam (dipanggil gucuh atau gocoh) dan hulu. Buluh temiang paling baik untuk tujuan ini. Boleh dikatakan ia merupakan sejenis ‘pump-gun’ tradisional yang berkuasa rendah. Gucuh atau gocoh biasanya juga diperbuat dari buluh (buluh
biasa yang lebih tebal kulitnya) diraut kerana ia lurus dan boleh dibentuk bulat dengan senang. Sekali imbas ia kelihatan seperti pam tangan basikal.
Hulu
senapang panjangnya lebih tiga inci atau kurang. Dan biasanya
melibatkan bahagian yang mengandungi ruas untuk berfungsi menopang gucuh
dengan baik selain dari senang untuk digenggam. Selain dari untuk
digenggam, hulu ini penting untuk membolehkan peluru senapang dipupuh
terlebih dahulu sebelum diasak jauh ke dalam laras.Mudah untuk senapang yang telah siap dioperasikan. Sebiji peluru akan diasak terlebih dahulu. Ia dipadatkan rata-rata supaya muat-muat memenuhi lubang laras sehingga ia menjadi separa kedap ruang udara. Peluru kedua juga diisi menggunakan cara yang sama. Oleh kerana ia dipupuh rata-rata, kedua-dua peluru berkenaan akan memenuhi ruang laras. Udara terperangkap di antara peluru pertama dan kedua. Peluru capelong atau senapang buluh yang sering digunakan ialah buah cenerai muda atau kertas yang telah direndam di dalam air.
Buah
cenerai akan dimasukkan sebiji-sebiji sementara kertas yang telah
direndam hendaklah digintil terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam
lubang capelong sebelum ditolak dengan gucuh.Sewaktu melepaskan peluru buah cenerai harus berhati-hati kerana jika terkena mata kawan boleh menjadi buta. Selalunya, untuk menjaga mata dari terkena peluru capelong, kami akan menggunakan lekar sebagai perisai. Lekar yang kami ambil di dapur milik emak yang sering meletakkan periuk panas selepas memasak begitu berkesan dalam aspek penjagaan mata dan tidak ada sesiapa pun antara kami yang buta akibat tembakan peluru capelong. Lekar tersebut dibubuh tali getah di dua bahagian tepinya kemudian diikatkan di belakang kepala. Di sini wujud satu kreativiti minda yang wajar dipuji kerana penggunaan lekar tercipta secara spontan.
CREDIT TO : http://budakjitralanie.blogspot.com
No comments:
Post a Comment